Categories

Asal Usul Nama Tempat di Malaysia - Gerik

Kira-kira seratus tahun dahulu, tempat yang sekarang bernama Gerik itu masih diliputi oleh hutan belantara dan masih terletak di bawah pemerintahan Raja Reman. Dalam tahun 1870, beberapa orang telah datang dari Patani mengikut Sungai Hangai lalu membuka hutan di Kuala Sungai tersebut untuk dijadikan kampung. Mereka diketuai oleh seorang tua bernama Tok ‘Ad (Tok Sa’ad).

Tiada beberapa lama lepas itu, Raja Negeri Reman yang bernama Tuan Jagong, datang memburu gajah di Gunung Tujuh berhampiran dengan Kuala Kenderong. Baginda mendengar cerita bahawa tiada jauh dari situ ada kampung orang terletak di tengah-tengah hutan.

Ketika Raja Reman menghampiri kampung tersebut, baginda terdengar suatu bunyi yang ganjil dari perdu serumpun buluh. Baginda memerintahkan supaya dipagar keliling perdu buluh itu dengan sasak dan menyuruh orang-orangnya menggali untuk mencari punca bunyi yang ganjil itu.

Setelah digali hingga ke pangkal perdu buluh itu, maka kelihatanlah berpuluh-puluh ekor dekan (Dekan, nama sejenis binatang rupanya seakan-akan tikus) sedang menggerit (memakan) umbi buluh. Oleh sebab umbi buluh itu sangat keras, maka gigitan dekan-dekan itu telah menghasilkan bunyi berkerit-kerit.

Raja Reman telah menamakan tempat itu Kampung Gerit. Sebutan `Gerit’ itu telah dipakai beberapa lama, tetapi orang-orang yang kemudian telah mengubah sebutan dan ejaannya daripada ` Gerit’ kepada `Grik’, kemudian menjadi `Gerik’ seperti yang digunakan sekarang.

No comments:

Post a Comment