Categories

Gerak senam pada wajah bagi menegangkan kulit

WANITA dan kecantikan memang sangat sinonim. Selain rambut, kulit wajah menjadi mahkota yang amat berharga dan aset untuk penampilan diri. Sebagai bahagian terbesar pada manusia, kulit sewajarnya dipelihara tetapi sejauh manakah anda memahami dan mengetahui sistem pengurusan kulit?

Kulit anda atau lebih tepat kulit wajah anda dibahagikan pada lima kategori yang biasa, kulit kering, normal, sensitif, berminyak dan kulit campuran. Tapi bagaimanakah boleh anda mengetahuinya?

Sebenarnya ia amat mudah, kulit normal memiliki tekstur yang licin dan seperti baldu tetapi kadang kala ditandai dengan pori-pori yang kecil. Kulit jenis ini memiliki imbangan minyak dan air. Meskipun pun digolongkan dalam kulit normal, anda tidak boleh mengabaikan penjagaannya.

Kulit berminyak pula memiliki kelenjar yang reaktif membuatkan wajah kelihatan berkilat terutama di bahagian hidung, dahi dan dagu. Pori-pori juga agak besar dan kadang kala ada bintik hitam , jerawat dan acne.

Kulit jenis ini memerlukan pembersihan khas untuk membantu mengecilkan pori-pori. Wanita yang memiliki kulit berminyak harus mengamalkan proses pembersihan setiap hari.

Jika anda mendapati kulit anda kurang lembap dan kurang minyak, mungkin anda sebenarnya memiliki kulit yang kering. Kulit jenis ini kelihatan sempurna, bening tetapi jika diperhatikan ia bertompok-tompok dan kelihatan agak ‘fragile’. Kulit jenis ini senang dikenali malah kehadiran garis-garis halus pada wajah juga tanda kulit yang kering.

Kulit campuran pula adalah jenis kulit yang dimiliki kebanyakan orang dan memerlukan rawatan berasingan untuk setiap zon wajah. Ia biasanya berminyak di zon T tetapi kering di pipi. Kerana itu zon T memerlukan perhatian yang lebih kerana pori-pori besar dan kadang kala ada bintik-bintik hitam.

Tetapi jika anda memiliki kulit yang sensitif, anda perlu memberi lebih banyak perhatian padanya kerana kulit sensitif bertindak dari dalam dan juga luaran. Ia boleh jadi berminyak atau kelihatan kering dan tetapi ia mudah terganggu pada pemakaian kosmetik atau bahan jagaan wajah yang tidak bersesuaian. Sebaiknya anda berjumpa dengan pakar kulit jika ia membabitkan alahan yang teruk.

Selain menggunakan bahan asas jagaan wajah atau kosmetik menyamar noda dan sebagainya, anda memiliki peranan besar untuk membantu melewatkan penuaan wajah dengan disiplin dan kesungguhan diri.

Untuk penjagaan kulit yang sihat, pastikan anda memakai pelembab untuk bahagian kulit yang terdedah pada pancaran matahari terutama wajah, tangan dan leher. Pelembab yang baik akan bertindak mengurangkan kadar kekeringan air.

Anda perlu pastikan tidak menggunakan sabun pada wajah kerana pHnya (ukuran asid dan alkali) sangat berlainan. Kulit muka harus dibersihkan dengan pembersih yang bersesuaian. Penggunaan sabun akan merosakkan kulit wajah.

Lebih bagus jika anda tidak saja menjaga kelembapan kulit wajah tetapi dapat memperuntukkan masa menyapu pelembap pada seluruh tubuh selepas mandi. Sesuatu yang perlu anda tahu, lagi panjang tempoh mandi dan lagi panas air mandian yang digunakan, lagi banyak kulit anda mengalami kekurangan air.

Untuk membenarkan kulit ‘bernafas’ dengan baik, pakai baju yang diperbuat daripada gentian asli seperti linen, kapas atau sutera dan makan banyak buah-buahan segar dan sayuran selain dan gentian sebagai asas diet yang sihat yang akan membantu memperbaiki kulit. Satu lagi yang tidak boleh ditinggalkan sekurang-kurangnya minum lapan gelas air sehari.

Selain itu, satu lagi cara yang mudah untuk menegangkan dan mencantikkan kulit, lakukan senaman wajah pada bila-bila masa yang sesuai. Semasa mengadap komputer, terperangkap dalam kesesakan lalu lintas atau sebelum tidur dan bangun pagi.

CARANYA mudah, langkah pertama dengan mengerutkan seluruh muka untuk beberapa saat dengan mata dan mulut tertutup.

Kedua, lakukan langkah berlawanan dengan langkah pertama dengan membuka mulut dan mata seluasnya (seolah-olah anda menjerit).

Ketiga, tutup mulut, muncungkan bibir dan gerakkan mulut kiri dan ke kanan.

Keempat, senyum seluasnya seolah-olah senyum itu dari telinga ke telinga dan buka mata seluasnya.

Kelima senyum sekali lagi tapi kali ini tarik dagu anda untuk menguatkan otot leher.

Untuk kulit yang lebih sihat, senyumlah selalu, ketawa dan bersihkan hati, kulit akan lebih berseri dengan kecantikan dari dalam.

No comments:

Post a Comment