Categories

LEMAS - Pencegahan dan pemulihan

Bagi mengelakkan kejadian lemas daripada berlaku, kita perlu sentiasa berwaspada terhadap keupayaan alam semula jadi dan bahaya yang mengundang.

Faktor-faktor yang menyebabkan lemas

* Aktiviti fizikal yang berlebihan

* Tidak berupaya bertahan dalam air bergelora

* Arus yang kuat

* Panik

* Kepenatan.

Di perairan yang sejuk seperti di Eropah, lemas boleh terjadi akibat kehilangan haba badan atau hipotermia. Walau bagaimanapun, keadaan seperti ini jarang berlaku di Asia Tenggara.

* Beberapa penyakit seperti sawan dan arrythmia (sejenis penyakit jantung) mempunyai risiko tinggi untuk lemas ketika berenang.

* Alkohol juga meningkatkan risiko untuk lemas sama ada ketika berenang ataupun ketika menjalankan aktiviti sukan air yang lain.

* Sesetengah perenang mengamalkan bernafas secara berlebihan (hyperventilation) sebelum menyelam sambil menahan nafas. Walaupun teknik ini dapat memanjangkan masa menahan nafas, ia tetap berbahaya. Perenang yang mengamalkan teknik ini boleh mengalami ``shallow water blackout'', menyebabkan mereka pengsan di dalam air dan seterusnya lemas.

Peringkat-peringkat kejadian lemas

* Pada mulanya mangsa akan panik dan meronta-ronta di permukaan air sambil menahan nafas.

* Seterusnya peningkatan karbon dioksida dalam darah (hypercapnia) menyebabkan mangsa menarik nafas sebagai tindak balas. Ini menyebabkan sedikit air memasuki kerongkong.

* Larynx atau peti suara lantas tertutup untuk menahan air daripada masuk ke dalam paru-paru. Proses yang dinamakan laryngospasm ini menyebabkan mangsa mengalami hypoxia iaitu keadaan di mana tisu dan darah mangsa mengalami kekurangan oksigen.

* Bagi 85-90 peratus kes, hypoxia yang meningkat menyebabkan mangsa pengsan, peti suara terbuka semula lalu air membanjiri paru-paru.

* Bagi 10-15 peratus kes, proses laryngospasm akan terus berlaku walaupun mangsa telah pengsan dan tidak banyak air memasuki paru-paru.

* Bagi semua kes, peningkatan hypoxia menyebabkan otak mengalami kecederaan akibat kekurangan oksigen.

* Ini seterusnya menyebabkan jantung gagal mengalirkan darah, otak mengalami kecederaan yang berterusan dan mangsa seterusnya meninggal dunia.

Rawatan untuk mangsa lemas

Tempat kejadian

* Mangsa hampir lemas yang telah berhenti bernafas perlu diberi CPR.

Resusitasi `mulut ke mulut' perlu diberikan walaupun mangsa masih berada di permukaan air.

* Mangsa perlu dikeluarkan dari air secepat mungkin. Bagi mangsa yang tiada denyutan nadi, kompresi dada dijalankan sebaik sahaja mangsa berada di darat.

Percubaan untuk mengeluarkan air dari paru-paru tidak patut dilakukan sebelum CPR dijalankan.

* Bagi mangsa hampir lemas yang mengalami kecederaan di bahagian badan, pergerakan leher perlu dikurangkan kepada tahap minimum. Ini kerana pesakit kemungkinan mengalami patah pada tulang tengkuk dan pergerakan berlebihan boleh menyebabkan mangsa menjadi lumpuh.

Hospital

* Di hospital, keperluan utama pesakit yang hampir lemas ialah menstabilkan mangsa dari segi laluan udara dan status kardiovaskular (jantung).

* Penstabilan dari segi status elektrolit dan tahap gas dalam darah juga perlu dititikberatkan. Ujian khas termasuk x-ray dada dan ujian darah akan dijalankan.

* Mangsa hampir lemas yang teruk akan mengalami gangguan fungsi paru-paru yang berpanjangan. Pesakit seperti ini perlu diberi bantuan pernafasan dengan menggunakan alat ventilator dan dirawat di unit rawatan rapi. Perhatian yang lebih terperinci, serta ujian dan pemantauan invasif biasanya akan dijalankan ke atas mangsa.

* Pesakit juga boleh mengalami komplikasi paru-paru berair akibat hampir lemas.

Bagi kes yang lebih serius, kegagalan sistem pernafasan boleh berlaku akibat adult respiratory distress syndrome.

* Paru-paru yang dimasuki air juga boleh menyebabkan komplikasi jangkitan sekunder dan mengakibatkan radang paru-paru.

Rawatan diberi dengan harapan dapat memberi sokongan pernafasan, memperbetulkan hypoxia dan gas dalam darah, menstabilkan sistem kardiovaskular dan merawat komplikasi paru-paru yang timbul.

Kecederaan akibat lemas

* Walaupun kebanyakan mangsa hampir lemas pulih sepenuhnya, sesetengah daripada mereka mengalami kecacatan kekal.

* Tahap kerosakan pada otak mangsa lemas bergantung pada jangka masa hypoxia dan keberkesanan bantuan CPR.

* Jika kerosakan pada otak berlaku, pesakit boleh mendapat lumpuh, cacat akal, atau vegetative state, satu keadaan di mana pesakit pengsan berpanjangan tanpa kebolehan bernafas dengan sendiri dan bergantung pada peralatan sokongan.

Mangsa hampir lemas walaupun tidak teruk dinasihatkan membuat pemeriksaan kesihatan bagi menentukan komplikasi paru-paru tidak berlaku.

Langkah-langkah pencegahan

* Ketahui ramalan cuaca

* Berenang dan menyelam dengan selamat

* Berjaga-jaga jika berenang dalam arus

Kejadian lemas ketika berenang di sungai biasanya terjadi akibat terperangkap dalam arus.

Sesetengah kawasan laut mempunyai arus deras yang menarik mangsa ke kawasan air dalam. Ketahui apa perlu dilakukan jika terperangkap dalam arus.

* Jangan memasuki air dengan terjun kepala dahulu melainkan kedalaman dan keadaan dasar telah diketahui. Kecederaan kepala dan tulang tengkuk sering berlaku akibat perbuatan ini sehingga boleh menyebabkan lemas.

* Elakkan alkohol jika ingin berenang atau melakukan aktiviti sukan air

* Elakkan berenang berseorangan.

* Keluar dari air sebaik sahaja cuaca berubah (terdengar guruh, hujan renyai).

* Patuhi papan tanda keselamatan di pantai dan kawasan riadah.

* Awasi kanak-kanak kecil

Anak kecil yang beriadah bersama di laut, sungai atau kolam memerlukan pengawasan berterusan oleh seorang dewasa walaupun kanak-kanak tersebut boleh berenang.

* Sentiasa memakai jaket keselamatan ketika menaiki bot, jet ski dan melakukan sukan air.

* Tingkatkan kebolehan renang dan keselamatan. Kemahiran berenang boleh memberi perlindungan daripada lemas.

Latihan renang membantu seseorang individu bergerak dan mencapai tempat selamat. Kebolehan berenang juga mengurangkan panik dalam situasi luar jangka.

* Belajar CPR.

Kecemasan berlaku di air dan juga darat. Latihan CPR membantu anda mengetahui cara bertindak dalam kecemasan.

Bagi mangsa yang terhenti pernafasan, CPR yang diberikan secara serta-merta boleh menyelamatkan nyawa dan mengelakkan kecacatan kekal.

No comments:

Post a Comment