SEJAK kebelakangan ini, masyarakat semakin cenderung untuk menjalankan aktiviti senaman di gimnasium berbanding di kawasan terbuka seperti di taman, padang permainan atau sebagainya.
Tetapi, anda perlu berhati-hati ketika menjalani program senaman di gimnasium walaupun sentiasa diawasi oleh jurulatih.
Dalam hal ini, beberapa jenis kesalahan yang sering dilakukan perlu diberi perhatian bagi mengelakkan sebarang kecederaan menimpa diri anda ketika menjalani sesi latihan.
Antara kesalahan yang sering dilakukan ketika bersenam di gimnasium ialah:
- Kedudukan badan tidak betul
Bagi memastikan kedudukan tulang belakang adalah betul, postur badan anda mesti dalam keadaan neutral. Jika anda gagal berbuat demikian, ia akan menyebabkan tekanan berlebihan pada sendi dan senaman yang dilakukan menjadi tidak sempurna.
- Melakukan gerak kerja senaman tanpa memastikan lutut dalam keadaan lembut
Semasa bersenam di atas mesin joging, anda mesti membengkokkan sedikit lutut bagi mengekalkan kedudukan badan yang sempurna.
- Cara pernafasan tidak betul
Jika melakukan senaman secara berlebihan, anda dinasihatkan supaya memperlahankan pergerakan yang sedang dilakukan. Ini kerana pernafasan yang betul dapat mempertingkatkan daya tahan otot serta kardiovaskular diri.
- Bersandar di belakang atau depan mesin latihan
Semasa bersenam di atas mesin joging, anda dinasihatkan supaya tidak memegang alat pemegang di hadapan kerana ia akan mengakibatkan kedudukan tulang belakang tidak selari.
Selain itu, sekiranya menggunakan basikal tidak bergerak, pastikan badan dalam keadaan tegak dan kepala lurus ke hadapan.
- Kedudukan tempat duduk (seat) basikal tidak bergerak berada pada tahap kurang sesuai
Apabila berkayuh, pastikan lutut bengkok sedikit semasa ditolak ke bawah bagi mengelakkan kecederaan pada lutut.
- Meningkatkan sudut `treadmil' mesin joging secara mendadak
Bagi yang gemar menggunakan mesin ini untuk bersenam, anda tidak seharusnya meningkatkan sudut `treadmil' mesin joging supaya bersesuaian dengan pergerakan senaman secara mendadak.
- Melakukan pergerakan melebihi sudut yang dibenarkan
Semasa mengangkat berat, anda perlu mengawal pergerakan agar tidak melebihi sudut pergerakan yang dibenarkan. Sendi bahu, siku dan lutut tidak boleh diluruskan dengan sepenuhnya. Ini bagi memastikan program kecergasan `work out' di gimnasium adalah selamat.
- Masa rehat tidak mencukupi
Sebaik-baiknya, anda perlu berehat selama 48 jam sebelum meneruskan sesi senaman yang berikutnya.
Jika anda ingin bersenam lebih kerap terutamanya untuk mempertingkatkan kekuatan dan daya tahan otot, tumpuan harus diberikan terhadap kumpulan otot yang berlainan pada setiap hari.
- Pergerakan berulang kali dengan bebanan yang rendah
Dalam hal ini, sekiranya matlamat anda adalah untuk mempertingkatkan kekuatan otot, anda harus meningkatkan bebanan dan mengurangkan ulangan.
- Tidak mempelbagaikan program senaman
Anda akan merasa bosan sekiranya tidak mempelbagaikan aktiviti ketika menjalani program senaman di gimnasium. Ini akan menyebabkan anda berhenti daripada meneruskan sesi latihan.
- Terlalu bergantung kepada pergerakan ketika mengangkat bebanan
Anda seharusnya bergantung kepada kekuatan otot bagi memastikan keberkesanan gerak kerja yang dilakukan, bukannya dengan bergantung kepada pergerakan (momentum).
No comments:
Post a Comment