TAWARAN pekerjaan sudah di depan mata, cuma proses temu duga saja perlu dihadapi. Bekalan segulung diploma dan ijazah saja tidak cukup untuk diterima bekerja kerana persediaan menghadapi temu duga terutama ketrampilan harus diambil kira.
Sebelum menghadiri temu duga:
LAKUKAN sedikit kajian mengenai sesuatu syarikat sebelum menghadiri temu duga. Usaha anda akan dapat memberikan gambaran bahawa anda benar-benar berminat mengenai kerjaya atau syarikat itu. Carilah bahan menerusi internet mengenai syarikat berkenaan seperti nama barisan pengurusan kanan.
Pengetahuan anda mengenai syarikat akan menjadikan majikan terutama yang menemuduga kagum dengan keprihatinan dan kesediaan anda.
Perjalanan ke tempat temu duga:
JIKA anda tidak pasti tempat temu duga, tinjaulah tempat itu terlebih dulu. Pastikan kedudukan pejabat berkenaan dan jangan hanya bergantung kepada alamat yang diberi. Pastikan anda sampai 15 hingga 30 minit lebih awal supaya anda tidak terburu-buru apabila giliran dipanggil.
Jangan lupa membawa butir-butir penting seperti surat temu duga, kad pengenalan, sijil dan pelbagai dokumen sokongan.
Perkara yang harus diutama dalam temu duga:
1) `FIRST impression' amat penting kepada penemuduga. Berikan senyuman, lihat ke arah mata mereka dan salam mereka dengan yakin. Pakaian harus kemas dan tidak menjolok mata.
2) Tunjukkan semua dokumen dengan kemas dan berhati-hati jika diminta. Jangan kelihatan seperti kelam-kabut.
3) Jika anda ditanyakan soalan yang sukar, jangan terburu-buru menjawab. Berfikir terlebih dahulu.
4) Tidak dapat dinafikan semua orang gementar sebelum dan ketika menghadapi temu duga. Ubat mujarab mengatasinya ialah dengan melakukan persediaan.
5) Penghujung sesi temu duga juga amat penting. Ambil peluang bertanya soalan yang sesuai atau bertanyakan sesuatu yang berkaitan. Jika ditanya jumlah gaji yang ditawarkan, jangan meminta yang terlalu tinggi.
6) Memang tidak mudah untuk menduga apa yang bakal berlaku semasa sesuatu sesi temu duga, oleh itu lakukannya dengan penuh keyakinan.
No comments:
Post a Comment