Pengenalan
Pertolongan cemas merupakan penjagaan awal untuk mereka yang cedera atau sakit. Ia merupakan khidmat penjagaan yang diberikan oleh seseorang yang mengambil berat terhadap keselamatan mangsa yang malang. Ia dilakukan sebaik sahaja berlaku sesuatu kemalangan atau kecederaan. Khidmat segera ini dan perhatian yang diberikan sebelum tibanya ambulans membawakan perbezaan yang ketara di antara hidup dan mati ataupun di antara penyembuhan keseluruhan atau sebahagian darinya. Pertolongan cemas memiliki batasannya yang tersendiri, kerana bukan semua penyelamat merupakan ahli paramedik ataupun doktor, namun begitu ia merupakan satu elemen yang penting dan amat diperlukan di dalam sistem perubatan yang menyeluruh.
Apakah yang perlu dilakukan ?
* Jangan panik.
Anda perlu bertenang
* Fikir.
Lakukan perkara yang sepatutnya dilakukan mengikut tertibnya yang logik.
Apabila memberikan pertolongan cemas, laksanakannya mengikut kemampuan anda.
* Jangan cuba untuk menjadi wira.
Hubungi atau dapatkan bantuan secepat mungkin.
Adalah amat penting bagi setiap pengamal pertolongan cemas melaksanakan tindakan mereka dengan pantas. Tindakan segera ini adal ah perlu untuk menyelamatkan nyawa dan anggota badan. Seorang mangsa yang tidak boleh bernafas dengan baik, atau mengalami pendarahan berlebihan, perlukan bantuan segera. Jika pertolongan cemas itu pantas dan berkesan, mangsa tersebut akan memiliki peluang yang lebih cerah untuk pulih. Cuba bertenang dan fikirkan semua tindakan anda. Pengamal pertolongan cemas yang tenang dan terkawal telah terbukti dapat mengawal keadaan dengan cekap dan berkesan.
Bagaimana mendapatkan bantuan ?
Untuk mendapatkan bantuan perubatan, hubungi ambulans segera dengan mendail 999. Jika anda berada di samping mangsa, dapatkan orang lain untuk menelefon bantuan. Jika anda bersendirian, anda perlu tinggalkan mangsa buat seketika untuk membuat panggilan telefon.
'AMARAN PERUBATAN' (MEDIC ALERT)
Ada individu yang menderita akibat sesuatu keadaan perubatan tertentu yang boleh menyebabkan mereka menghadapi gejala dan tanda-tanda penyakit yang serius pada bila-bila masa.
Sebagai bantuan dan makluman, mereka mungkin memakai sejenis pengenalan perubatan, biasanya dalam bentuk sejenis rantai atau gelang yang khas. Alat ini dikenali sebagai gelang Medic Alert atau Amaran Perubatan. Pada gelang ini tercatat identiti pesakit, keadaan perubatan yang tertentu dan keterangan-keterangan lain seperti alahan, dadah yang diperlukan atau alamat konteks perubatan yang boleh dihubungi.
Pelbagai keadaan perubatan yang boleh dimaklumkan oleh alat tersebut termasuklah penyakit jantung yang khusus, diabetes, epilepsi atau gila babi, asma dan alahan-alahan yang serius.
Mengapa pertolongan cemas ?
Mereka yang memberikan pertolongan cemas sentiasa berusaha ke arah:
* Menyelamatkan nyawa mangsa
* Mengelakkan komplikasi atau keadaan dari menjadi bertambah buruk.
* Membantu pemulihan
* Menenangkan perasaan mangsa dengan membuat mereka berasa selesa dan memulihkan kesakitan.
Mereka yang memberikan pertolongan cemas mestilah tahu apa yang perlu mereka lakukan dalam keadaan-keadaan yang berbeza. Kesilapan dalam memberikan rawatan boleh memburukkan lagi keadaan mangsa.
Maklumat yang diberikan di dalam artikel ini membolehkan anda memberikan pertolongan cemas yang berguna dan berkesan.
Bilakah diperlukan ?
Pertolongan cemas diperlukan di dalam keadaan berikut:
* Sakit dada yang teruk atau sakit di bahagian abdomen
* Pendarahan yang teruk atau tidak dapat dikawal
* Luka terbakar yang teruk
* Tercekik
* Patah tulang atau terseliuh
* Kecederaan yang teruk
* Serangan jantung
* Renjatan haba
* Pengambilan dadah yang berlebihan
* Keracunan
* Renjatan
* Tidak sedarkan diri
Apakah asas pertolongan cemas yang perlu saya ketahui?
Sepatutnya, anda perlu tahu cara-cara untuk
1. Membantu mangsa secukupnya (bantuan keselamatan asas)
2. Mulakan prosedur pernafasan (pertolongan cemas primer)
3. Hentikan pendarahan
4. merawat renjatan
5. merawat kecederaan mata
6. merawat luka terbakar
Teknik SAFE
Pada setiap keadaan kecemasan, lakukan teknik SAFE yang bermaksud:
S - Summon / Shout for help (Dapatkan bantuan)
* Dalam kebanyakan kes, lebih daripada seorang pembantu diperlukan
A - Approach with care & Assess the situation (Lakukan pendekatan dengan berhati-hati dan menilai keadaan tersebut)
* Kemungkinan wujudnya bahaya di kawasan sekeliling tidak dapat dipastikan dan boleh membahayakan penyelamat dan seterusnya menambahkan lagi masalah. Peningkatan bilangan mangsa akan mengurangkan keupayaan bantuan perubatan yang ada.
* Bahaya boleh jadi di dalam bentuk wayar elektrik hidup, risiko letupan atau kebakaran dari tumpahan minyak, haiwan berbisa dan lain-lain
F - Free from danger (Bebas dari bahaya)
* Mangsa mesti dibebaskan dari segala bahaya atau perkara yang menimbulkan bahaya tersebut perlu dialihkan atau dibuang dengan penuh hati-hati. Contohnya, matikan enjin kereta, alihkan wayar elektrik yang hidup menggunakan batang kayu, halau haiwan berbahaya seperti ular, dan lain-lain lagi
E - Evaluate casualty's condition (Menilai keadaan pesakit)
Pertolongan Cemas Primer ?
Lakukan perkara-perkara seperti berikut apabila anda mendekati mangsa yang mengalami kecederaan teruk
* SALURAN UDARA - periksa samada saluran udara mangsa dan pastikan ia
samaada tidak dihalang oleh lidah, bendalir rembesan atapun bendasing. Cara yang perlu dilaksanakan untuk memberi bantuan terhadap saluran udara ialah dengan meletakkan mangsa berbaring menelentang dengan tegak dan mulut mangsa dibiarkan terbuka.
* GUNAKAN dua jari untuk membersihkan mulut dari sebarang halangan yang boleh dilihat.
* KELUARKAN gigi palsu hanya jika alat tersebut longgar.
* ELAK dari memasukkan tangan terlalu dalam kerana ini boleh menyebabkan halangan yang tidak dapat dilihat termasuk pada saluran udara.
* BERNAFAS - periksa samaada mangsa masih bernafas, jika tidak, berikan bantuan pernafasan.
* EDARAN (circulation) - periksa samaada nadi mangsa masih berdenyut. Jika tiada, lakukan tekanan pada dada (kompresi dada)
Bagaimana untuk memberhentikan keadaan tercekik?
* Jika mangsa tercekik disebabkan makanan ataupun objek-objek lain dan mangsa berhenti bernafas, lakukan bantuan pemulihan pernafasan
* Anda harus berasa yakin bahawa anda akan dapat mengeluarkan objek yang menyumbat kerongkong mangsa sebelum memasukkan jari atau tangan ke dalam mulut mangsa.
* Tanggalkan pakaian untuk mendedahkan bahagian dada
* Ikut arahan untuk memberi bantuan pemulihan pernafasan
Bagaimanakah caranya untuk menghentikan pendarahan?
* Gunakan tekanan secara langsung ke atas anggota badan dan tangan
* Tekan pada luka dengan beralaskan kain yang bersih atau bahan lain yang sesuai. Ini akan meminimakan sebarang jangkitan.
* Pegang tangan ataupun kaki pada paras jantung. Teruskan tekanan sehingga pendarahan berhenti ataupun sehingga pasukan ambulans tiba
* Jangan alihkan kain yang digunakan walaupun ia telah basah dengan darah. Anda perlu tambahkan lagi lapisan kain dan kenakan tekanan yang mampan.
* Gunakan juga tekanan secara langsung untuk menghentikan pendarahan di bahagian-bahagian lain.
* Seorang yang mengalami pendarahan boleh mati dalam masa satu minit jika saluran darah utama terpotong. Jangan tunggu. Hentikan pendarahan dengan serta-merta.
Bagaimanakah caranya untuk merawat renjatan ?
* Dalam situasi pertolongan cemas, rawatan bagi renjatan mestilah dilakukan dengan segera sebaik sahaja selepas disahkan keadaan renjatan itu dan setelah punca kemalangan dialihkan.
* Baringkan mangsa dengan telentang serta angkat kaki mangsa untuk meningkatkan aliran darah ke otak
* Pastikan tubuh mangsa diselimuti untuk mengelakkan kesejukan ataupun kehilangan haba
* Longgarkan pakaian yang ketat dan tali pinggang untuk mengurangkan jerutan di kawasan leher, dada ataupun pinggang.
* Jangan berikan sebarang cecair kerana ia tidak dapat diserap dengan mudah jika diberi melalui mulut
* Hubungi ambulans dan bawa mangsa ke hospital secepat mungkin
Bagaimanakah cara untuk merawat kecederaan mata ?
* Cara yang paling baik bagi mengeluarkan bendasing dari mata adalah dengan membiarkan ia keluar bersama air mata, tetapi kadangkala adalah perlu untuk membasuhnya keluar
* Basuh mata dengan menuangkan air dengan banyak keatas mata
* Jika bendasing itu dapat dilihat dan berada di permukaan mata, cuba keluarkannya dengan perlahan-lahan menggunakan hujung bucu sapu tangan ataupun dengan menggunakan putik kapas.
* Jika bendasing tersebut terbenam di dalam mata, jangan cuba keluarkannya. Tutup mata tersebut menggunakan lapikan mata yang steril atau menggunakan kain yang bersih dan minta bantuan perubatan dengan segera
* Jangan sekali-kali gunakan sebarang bahan kimia. Ia boleh menyebabkan kecederaan mata yang serius.
Bagaimanakah cara untuk merawat luka terbakar ?
* Di dalam kes terbakar yang teruk, minta bantuan perubatan dengan segera
* Buangkan semua aksesori dan pakaian yang mengecut dari kawasan yang terlibat.
* Rendamkan kawasan yang terlibat ke dalam air sejuk dengan segera ataupun kenakan tuala yang basah dan lembab di kawasan tersebut. Anda juga boleh menuangkan air ke bahagian yang terbakar itu atau letak di bawah air sejuk yang mengalir. Teruskan rawatan ini selagi kesakitan masih dirasai.
* Untuk luka terbakar yang disebabkan oleh bahan kimia, tuangkan air di atas kulit atau letakkan dibawah air yang mengalir. Kemudian tutupkan kawasan tersebut dengan kain yang bersih untuk mengelakkan gangguan oleh udara.
* Jika luka terbakar tersebut adalah besar, tenangkan mangsa dan lakukan rawatan untuk renjatan
INGAT!
* Bertindak dengan segera, setiap saat boleh membawa perubahan
* Jangan gerakkan mangsa yang mengalami kecederaan leher atau belakang kecuali dalam keadaan yang sangat diperlukan
* Dapatkan seseorang untuk menghubungi ambulans dan doktor sewaktu anda sedang memberikan pertolongan cemas
* Jangan tarik pakaian mangsa luka terbakar
* Bertenang dan tenangkan mangsa
* Jangan paksa mangsa yang tidak sedarkan diri untuk mengambil sebarang cecair
Kit Pertolongan Cemas
Setiap rumah perlu memiliki satu kit bantuan kecemasan yang mudah diambil oleh orang dewasa tetapi tidak boleh dicapai dengan mudah oleh kanak-kanak. Peti tersebut mestilah teguh dan kalis air. Kit bantuan kecemasan boleh mengandungi isi kandungan yang berbeza, bergantung kepada keperluan. Kit bantuan kecemasan peribadi mestilah disimpan di kawasan yang bersih dan kering serta tidak mudah dicapai oleh kanak-kanak. Isi kandungannya mestilah diperiksa dalam satu jangkamasa yang tertentu untuk memastikan ia masih ada dan lengkap, belum luput tarikh dan berada dalam keadaan baik.
Satu kit yang asas mengandungi:
* Krim antihistamin untuk melegakan rasa gatal
* Sebatian antiseptik (untuk membersihkan luka-luka kecil)
* Tablet parasetamol atau aspirin untuk sakit kepala, demam dan melegakan kesakitan ringan (aspirin tidak harus diberikan kepada kanak-kanak di bawah umur 16 tahun)
* Pembalut luka (bandage)
* Plaster (sepeket)
* Pita bergam untuk membalut
* Crepe bandage (untuk rawatan terseliuh)
* Pembalut elastik
* Pembalut tiga segi
* Losyen calamine untuk ruam yang gatal
* Kapas steril (1 gulung)
* Pembalut luka atau dressing
* Gause parafin (untuk luka terbakar)
* Gause steril
* Dressing untuk luka (2 saiz)
* Basuhan mata
* Lampu suluh
* Selimut (untuk mengekalkan kepanasan ketika kesejukan)
* Hidrogen peroksida ataupun alkohol untuk disapu
* Putik kapas (untuk meletakkan ubat)
* Pin (untuk menetapkan bandage)
* Gunting yang tajam tetapi mempunyai hujung yang tumpul (untuk kegunaan pertolongan cemas sahaja)
* Penyepit yang tajam di hujung(untuk membuang selumbar)
No comments:
Post a Comment