Categories

Asal Usul Nama Tempat di Malaysia - Kajang

Terdapat beberapa cerita lisan berkenaan dengan penerokaan awal pekan Kajang dan kawasan sekitarnya. Menurut orang-orang tua Kajang dan kawasan sekitarnya sebelum didatangi peneroka-peneroka dari luar adalah merupakan kawasan kediaman orang-orang asli dari Suku Temuan. Menurut seorang pengkaji sejarah tempatan En. Shahabudin Ahmad, Kajang telah diterokai pada tahun 1709 oleh orang-orang Asli yang berpusat di Klang. Pada waktu itu klang diperintah oleh orang-orang Asli yang ketuanya dipanggil Batin Seri Alam. Ketua ini mentadbir di Klang kerana ketika itu hutan ini adalah ini adalah pusat pentadbiran bagi orang-orang asli. Klang mempunyai jajahannya yang tersendiri yang ditadbirkan oleh 3 orang anak kepad Batin Seri Alam.

Jajahan-jajahan tersebut ialah Johor yang ditadbirkan oleh Datuk Nenek Kerbau, Jelebu pula diperintah oleh Datuk Jelondang dan Sungai Ujung yang diperintah oleh Batin Bercanggai Besi. Mengikut cerita dogeng Batin Bercanggai Besi mempunyai seorang anak angkat perempuan bernama Puteri Mayang Selinda yang mempunyai paras yang sangat cantik. Apabila Sultan Johor mengetahui akan Puteri ini baginda pun memerintahkan agar Puteri itu dipersembahkan kepadanya. Memang telah menjadi adat ketika itu apa-apa saja yang dikehendaki oleh Sultan akan dituruti. Berikutan dengan itu satu rombongan telah diadakan untuk menghantar Puteri Mayang Selinda ke Johor.

Setelah selesai upacara penyerahan puteri tersebut kepada Sultan Johor, rombongan itu telah kembali semula ke Klang. Sultan Johor telah memeberikan banyak hadiah kepada mereka termasuk pakaian dan lembing. Mereka pulang dengan menaiki sampan melalui Sungai Langat.

Setelah dua hari perjalanan mereka sampai di tempat sekitar keretapi Kajang yang ada sekarang. Disebabkan hari sudah malam, mereka bermalam dan bercadang untuk berkampung di situ. Ini disebabkan mereka mendapati kawasan itu sesuai untuk dijadikan kawasan penempatan. Mereka mendirikan 'kajang' iaitu pondok-pondok yang beratapkan daun mengkuang hutan. Justeru kerana itu, tempat itu dinamakan Kajang iaitu 'Kajang' yang didirikan.

Ada juga sumber-sumber lain yang menerangkan asal kejadian Kajang. Sumber tersebut menyatakan bahawa suatu ketika dulu terdapat dua orang sahabat menaiki sampan melalui Sungai Langat untuk pergi ke Pekan Reko. Mereka adalah terdiri dari seorang Melayu dan seorang Asli yang mendiami kawasan Reko. Apabila sampai ke Kajang, ( ketika itu belum bernama kajang ), hujan turun dengan lebatnya. Orang Melayu mengajak rakannya ' berkajang ' di situ. Menurut cerita itu ' berkajang ' bagi orang Melayu ialah berteduh, tetapi orang Asli tersebut memahami ' berkajang ' itu sebagai bertikam. Disebabkan salah faham akan maksud rakannya itu maka orang Asli terus menikam rakannya. Dengan perisiwa bertikam itu maka tempat itu dinamakan Kajang.

Terdapat satu cerita yang lain telah menafikan cerita tersebut. Dikisahkan Kajang telah diterokai oleh orang-orang Klang yang lari menyelamatkan diri semasa berlaku perang saudara di Selangor. Menurut cerita ini mereka yang melarikan diri dari peperangan tersebut telah mendaki Sungai Langat hingga ke Kuala Jeluk iaitu dibelakang panggung wayang ' Sun' yang ada sekarang. Mereka berhenti di situ dan mendapati kawasan itu sesuai untuk dijadikan tempat kediaman. Mereka mendirikan pondok-pondok sesuai dan atapnya dubuat dari daun mengkuang berbetuk seperti bumbung kereta lembu Melaka yang mereka namakan ' Kajang '. Mereka kemudiannya berkampung di situ dan menamakan tempat itu Kajang. Tetapi dalam cerita tersebut terdapat pula peristiwa yang lain membolehkan Kajang mendapat nama. Mengikut ceritanya, apabila hari senja orang-orang pelarian itu telah sampai ke satu tempat. Seorang ketua bagi orang-orang Mandailing telah melaungkan kepada orang-orangnya dengan berkata ' berkajang ' kita di sini. Perkataan ini telah disalah fahamkan oleh beberapa orang pengikutnya yang berketurunan Bugis. Mereka menganggap perkataan berkajang itu bermakna bertikam. Peristiwa itu hampir-hampir menumpahkan darah. Dari sinilah timbulnya perkataan Kajang dan tempat itupun di namakan Kajang.

Selain dari sumber-sumber lisan, terdapat juga sumber-sumber bertulis yang cuba menerangkan pembukaan Kajang. Terdapat fakta yang menyebut bahawa Kajang telah dibuka oleh ayah kepada Raja Alang iaitu Raja Berayun. Raja Berayun ialah seorang anak raja yang melarikan diri ke Selangor dari peperangan saudara di Sumatera. Di negeri Selangor beliau telah bersahabat baik dengan Sultan Abdul Samad. Raja Berayun kemudiannya telah membuka Kajang dan memerintah daerah Kajang dengan gelaran Tengku Panglima Besar.

Dalam versi yang lain pula, terdapat satu laporan dari penghulu Yahya yang menjadi penghulu di Kajang dan Cheras pada tahun 1891 mengatakan Kajang telah dibuka oleh En. Lili dari Piau kira-kira dalam tahun 1776. Dalam laporannya kepada Pegawai Daerah Ulu Langat, ia seterusnya mengatakan :

"......Sultan Muhammad beri dia ( Encik Lili ) kuasa mmebuka tanah di Hulu Langat dari Sungai Sabak Dua ke hulu bersempadan dengan Dato' Langat, dihilir bersempadan dengan Dato' Ali. Encik Lili dengan enam orang rakannya telah berpindah ke bukit Kuala Sungai Merbau yang kemudiannya menamakannya Kajang dan Lili telah dilantik oleh Sultan Muhammad menjadi Dato' Bandar Kajang. Beliau telah diberikan kuasa memerintah kawasan daripada Sabak Dua hingga ke hilir Sungai Subang Hilang. Sultan juga telah membenarkan LIli untuk membuka lombong di Kuala Sungai Merbau. "

Didapati cerita-cerita seperti yang telah dipaparkan di atas tidak dapat ditentukan kebenarannya dari fakta sejarah. Umpamanya pembukaan kawasan Kajang pada abad ke-19 oleh orang-orang Klang yang lari untuk menyelamatkan diri dari perang saudara di Selangor itu adalah tidak begitu tepat. ini kerana penulis merasakan bahawa Kajang telah diterokai lebih awal dari situ. Ini berdasarkan kepada kenyataan bahawa orang-orang Melayu Sumatera telah pun mendiami Kajang ketika perang tersebut berlaku. Mereka yang ketika itu di bawah kuasa dan pengaruh Sultan Puasa telah menyebelahi dan membantu Raja Mahadi untuk mengadakan pemberontakan di Selangor. Lebih dari itu pekan Kajang pernah dijadikan pengkalan untuk pengikut-pengikut Raja Mahadi yang diketuai oleh seorang Mandailing bernama Raja Asal.

Walaupun terdapat fakta sejarah yang mengatakan penempatan di daerah Hulu Langat ( termasuk Kajang ) berlaku pada akhir perang saudara di Selangor iaitu pada 1874 hingga 1920 tetapi terdapat juga kawasan-kawasan di daerah tersebut yang lebih awal diterokai. Terdapat beberapa mukim daerah Hulu Langat yang dibuka lebih awal lagi. Contohnya Cheras, Semenyih dan Beranang dibuka kira-kira pada tahun 1870. Dengan itu, berkemungkinan kawasan Kajang telah dibuka lebih awal dari tarikh itu adalah tidak dapat diperkecilkan.

3 comments: