Categories

Asal Usul Nama Tempat di Malaysia - Sungai Linggi

Barangkali nama Sungai Ujung itu mengambil sempena hujung atau hulu Sungai Linggi, sungai yang menjadi nadi atau laluan terpenting bagi para pedagang di zaman dahulu.

Melalui sungai inilah dibawa keluar segala macam hasil seperti bijih timah dan juga hasil-hasil daripada hutan, sama ada gading gajah, kayu gaharu, damar, barang-barang pertanian dan sebagainya.

Kira-kira 10 kilometer dari kuala Sungai Linggi terdapat sebuah sungai iaitu Sungai Rembau. Di pertemuan kuala Sungai Rembau dengan Sungai Linggi itu terdapat bekas sebuah kota Melayu yang dibina oleh seorang ketua orang Melayu bernama Lebai Kulub. Kota tersebut dibina pada tahun 1850.

Tujuan pembinaan kota tersebut ialah sebagai pusat memungut cukai bagi segala kapal-kapal dan perahu yang membawa barang dagangan dari arah hulu ke kuala Sungai Linggi.

Kota yang terletak di persimpangan antara kuala Sungai Rembau dengan Sungai Linggi itu dikenali dalam sejarah sebagai Kota Simpang. Ini mengambil sempena letaknya di persimpangan antara dua buah sungai.

Kota Simpang sukar dilawati dengan menggunakan jalan darat dan ia memerlukan seorang pemandu daripada penduduk tempatan yang mahir. Lebih baik kota ini dilawati dengan menggunakan perahu melalui Sungai Linggi. Perahu-perahu mudah didapati di kuala Sungai Linggi.

Lebih kurang lima ribu tahun lampau orang-orang dari Pulau Sumatera telah mula berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu.

Tempat yang awal mereka pilih ialah di Lembangan Sungai Linggi di Pangkalan Kempas, iaitu sebuah tempat kira-kira 8 kilometer jaraknya dari kuala Sungai Linggi.

Terdapat sebuah kompleks sejarah di situ yang dikenali sebagai Kompleks Sejarah Batu Hidup.

Di situ anda dapat melihat tugu-tugu batu hidup peninggalan orang-orang Melayu dari Sumatera yang berusia kira-kira 5,000 tahun lampau. Ada tiga buah tugu batu hidup yang terkenal dengan nama-nama yang disebut Batu Pedang, Batu Sudu dan Batu Kemudi.

Batu-batu hidup tersebut merupakan semacam tugu yang dipuja dengan satu kepercayaan yang disebut 'anamesme' iaitu kepercayaan bahawa roh-roh daripada ketua atau Tok Batin yang dihormati akan menjelma semula kepada tugu-tugu batu yang mereka bina.

Begitulah kepercayaan tradisi yang dianut oleh manusia-manusia awal di dunia Melayu ini setelah mereka mula meninggalkan zaman pra-sejarah.

Sungai Linggi juga merupakan alat perhubungan yang penting di zaman kerajaan Melayu sebelum kedatangan penjajah barat. Melalui sungai inilah orang-orang Melayu dari Sumatera, terutama orang Melayu minangkabau, datang membuka perkampungan di sepanjang lembah sungai tersebut.

Belanda, iaitu penjajah barat yang menguasai Melaka sejak tahun 1641 juga tertarik dengan lembangan Sungai Linggi kerana mereka mengetahui banyak hasil bijih timah yang dibawa melalui Sungai Linggi.

Lalu dengan muslihat yang begitu pintar, Belanda dapat memujuk Daeng Kemboja, iaitu ketua masyarakat orang-orang bugis yang menguasai lembah Sungai Linggi, supaya berbaik-baik dengan Belanda. Dengan itu Belanda mula membina sebuah kota di Kuala Linggi.

Kota tersebut adalah merupakan pusat pertahanan dan juga tempat mengutip cukai segala macam barangan, terutama bijih timah yang dibawa keluar melalui Sungai Linggi.

Kota tersebut yang dibina di atas bukit di tebing kanan mudik Sungai Linggi di tepi laut dinamakan kota Filipina iaitu mengambil sempena dengan nama anak perempuan Jacob Mussel, Gabenor Jeneral Belanda di Batavia (Jakarta 1750-1761).

Di dalam kota inilah pada 1 Januari 1758 satu perjanjian persahabatan telah diadakan dengan ketua masyarakat orang bugis iaitu Daeng Kemboja dengan Belanda.

Nampaknya selepas perjanjian itu orang-orang Bugis tidak lagi menguasai lembangan Sungai Linggi yang terkenal banyak mengeluarkan bijih timah yang terdapat di Sungai Ujung, Rembau dan juga dari Selangor dan Klang.

Penguasaan Belanda terhadap lembah Sungai Linggi bukanlah suatu yang baru.

Pada tahun 1643, iaitu selepas menakluki Melaka daripada tangan Portugis, Belanda juga pernah menyerang Rembau dan Naning, dan memaksa kedua negeri Melayu tersebut membayar sebanyak 200 gantang padi pada Belanda.

No comments:

Post a Comment