Categories

Bateri rosak boleh dibaiki

BATERI adalah antara komponen yang cukup penting pada bahagian enjin kenderaan. Bateri yang lemah, rosak dan kekurangan air bateri boleh menyebabkan enjin sukar dihidupkan. Malah, kereta yang tidak dihidupkan selama tiga atau empat hari juga boleh menyebabkan bateri lemah.



Oleh itu, pemeriksaan bateri, air dan kabelnya adalah beberapa perkara yang perlu dilakukan sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Lazimnya, kerosakan pada bateri kenderaan kadang kala boleh dibaiki, tetapi tidak menjamin berapa lama hayat kuasa bateri anda akan bertahan. Antara sebab kerosakan itu tidak tahan lama ialah kerana bahagian dinding yang merekah itu akan diresapi asid bateri, sekali gus sukar melekatkan sebarang pelekat yang disapukan kepadanya.

Selain itu, anda sering menghadapi risiko apabila menggunakan bateri yang sudah retak terutama boleh menyebabkan enjin kereta anda sukar dihidupkan kerana kehilangan kuasa bateri.

Bagaimanapun, jika anda ingin menggunakan bateri yang bahagian dindingnya sudah retak dengan membaiki semula, boleh berbuat demikian dengan mengambil beberapa langkah tertentu.

Peringkat pertama, pindahkan bateri itu dan diletakkan pada lapikan plastik. Bersihkan bahagian luar bateri itu dengan bahan pencuci seperti sabun serbuk untuk menghilangkan tompokan berminyak dan gris.

Kemudian renggangkan sedikit bahagian retak menggunakan pisau sebelum memasukkan simen khas ke dalamnya untuk menampung kerosakan ini. Simen khas dikenali sebagai Batrepair ini boleh dibeli di kedai aksesori kereta.

Tunggu sehingga simen yang disapukan pada permukaan retak itu kering sebelum mengambil tindakan lain.

Setelah kerja membaiki keretakan itu selesai, masukkan cecair asid ke dalam lubang disediakan pada paras ditentukan. Bagaimanapun, anda disyorkan membawa bateri yang dibaiki itu ke bengkel kereta untuk ujian daya kuasa menggunakan alat pengecas khas.

Sesetengah bateri yang baru dibaiki boleh dipulihkan kuasa elektriknya ketika enjin kereta dihidupkan. Terlalu lama mengecas bateri itu juga boleh merosakkan bahagian kepingan

plumbum seperti retak.

Keretakan plumbum akan menyebabkan daya kuasa bateri menjadi berkurangan dan sekali gus, petanda anda perlu menukar kepada bateri baru. Bagaimanapun, sesetengah kereta memerlukan alat pengecas khas yang mungkin mengambil masa kira-kira sejam sebelum ia boleh digunakan.

Pastikan selaput asid yang melekat pada terminal negatif dan positif bateri dibersihkan dari semasa ke semasa sebagai langkah kuasa bateri bertahan lama.

Cara mudah menghapuskan selaput asid itu ialah dengan menuangkan air panas ke kedua-dua terminal itu.

Bagaimanapun, anda perlu berhati-hati ketika menuangkan air panas ke bahagian terminal itu agar tidak terkena pada komponen lain. Kesan sampingan jika selaput asid memenuhi terminal ialah akan menyebabkan arus elektrik tidak sampai ke beberapa komponen yang memerlukan.

Selain itu, kesan selaput asid itu juga boleh menyebabkan kabel bateri berkarat dan mudah terputus.

No comments:

Post a Comment