Categories

Malapetaka jika brek tidak berfungsi dengan baik

KETIKA memandu untuk perjalanan jauh dengan kelajuan lebih 100 kilometer sejam, selain tayar, satu lagi komponen kereta yang perlu difikir ialah brek. Ini kerana brek yang tidak berfungsi atau ‘tak makan’ boleh membahayakan keselamatan.

Namun sewaktu memijak brek, tiba-tiba anda terasa seolah-olah sedang memijak benda yang amat kenyal, tetapi brek tidak dapat dilakukan dengan sempurna. Jika hal ini terjadi, pemeriksaan perlu dilakukan.

Ada pelbagai sebab mengapa keadaan sedemikian berlaku termasuk wujud udara dalam saluran minyak brek, sekatan wap, kebocoran atau kekurangan minyak brek, penyelarasan injak brek kurang tepat, gelendong brek sudah retak atau lubang saluran tersumbat dan bolt pemegang selindernya longgar.

Periksa jika wujud udara dalam saluran minyak brek. Dalam kebanyakan kenderaan, jarak antara lantai dan injak brek (ketika dipijak penuh) akan bertambah selepas injak dipijak beberapa kali. Sebab itu, brek berkesan.

Namun demikian, dalam sesetengah keadaan, jarak itu tidak bertambah manakala pemandu akan berasa seolah-olah memijak belon. Gejala ini menunjukkan ada udara dalam saluran minyak brek.

Periksa juga sama ada gelendong brek sudah retak, paip minyak brek usang atau bolt pemegang silinder longgar. Jika keadaan itu terjadi, jarak membrek akan bertambah dan kenderaan tidak dapat dihentikan dengan selamat.

Apabila berdepan keadaan begini, hentikan kenderaan, buka tutup bonet, dan lakukan pemeriksaan. Mula-mula periksa seluruh komponen sistem brek, mungkin ada kerosakan yang dapat dilihat.

Minta bantuan rakan untuk memijak injak brek beberapa kali sepanjang pemeriksaan. Goyangkan paip sambungan dan sebagainya. Bagi bahagian yang tidak dapat dilihat, rasa dengan tangan.

Periksa juga adakah kerosakan terjadi disebabkan sekatan wap. Sekatan wap berlaku ketika kenderaan sedang bergerak.

Contohnya, walaupun brek pada mulanya baik, keberkesanannya boleh berkurang kerana injak brek sering ditekan terutama ketika kenderaan bergerak menuruni jalan yang curam.

Membrek terlalu kerap seperti menuruni Genting Highlands boleh menyebabkan gelendong dan minyak brek panas. Dengan demikian, minyak brek akan mengewap dan untuk sementara waktu, gelembung wap itu tertinggal dalam saluran minyak brek.

Gelembung wap dalam saluran itu mengganggu kelancaran penyaluran minyak ke silinder brek pada roda.

Jika berdepan keadaan begini, segera hentikan kenderaan dan sejukkan roda serta gelendong breknya. Ini dapat dilakukan dengan menyiram roda dengan air atau menghembus angin pada gelendong dan paip brek.

Sebaik-baiknya, pemandu perlu segera menyedari apabila brek tidak berfungsi dengan baik. Tindakan pertama yang harus dilakukan adalah memijak injak brek berulang-ulang.

Kegagalan brek boleh menjadi petaka yang amat tidak diingini. Jadi, selalulah pastikan brek sentiasa dalam keadaan baik dengan sentiasa membuat pemeriksaan secara teratur.

No comments:

Post a Comment