Categories

Asal Usul Nama Tempat di Malaysia - Jempol, Negeri Sembilan


Sebelum wujud nama Jempol, telah ada nama lain bagi Jempol; iaitu Leban Condong dan Danau Rasau. Menurut cerita orang tua-tua, nama Leban Condong diperoleh daripada nama seorang anak lelaki seorang asli yang mula-mula mendiami kawasan tersebut. Manakala nama Danau Rasau pula mengambil sempena nama seorang perempuan cantik yang berasal dari Minangkabau. Menurut cerita, Leban Condong telah berkahwin dengan perempuan dari Minangkabau itu dan mereka mendapat seorang anak lelaki yang comel dan tegap tubuh badannya lalu diberi nama Jempol.

Apabila Jempol meningkat dewasa dia menjadi seorang yang gagah. Tidak ada seorang pun yang menandingi kekuatannya. Lantaran kegagahannya itu Leban Condong berharap Jempol akan menjadi seorang pendekar. Lalu Jempol disuruhnya belajar ilmu pendekar daripada guru-guru yang terbilang.

Dengan ilmu pendekar dan kekuatan tubuh badan yang dimilikinya , Jempol ditakuti oleh semua penduduk di sekitar kampung itu. Namanya juga menjadi terkenal. Ini menyebabkan Jempol berasa sombong dan megah dengan kelebihan yang ada pada dirinya. Sikap Jempol itu akhirnya tidak disukai oleh penduduk-penduduk Kampung tersebut.

Di Kampung itu pula ada seorang gadis cantik bernama Melur. Ramai pemuda di kampung itu yang tergila-gilakan Melur, tetapi tidak ada seorang pun berjaya memikatnya. Tambahan pula Melur seorang gadis yang baik budi pekertinya dan tidak mudah diperdayakan.

Seperti anak muda yang lain, Jempol juga terpikat kepada Melur. Dia bercita-cita untuk menjadikan Melur sebagai isterinya. Bagaimanapun sikap Jempol yang angkuh dan sombong itu tidak disenangi oleh Melur dan keluarganya. Lantaran itu apabila Jempol melamar, mereka menolak lamaran itu. Tindakan keluarga Melur itu menyebabkan Jempol tersinggung. Dia menyimpan dendam terhadap Melur.

Melur seorang yang rajin menolong orang tuanya. Apabila tiba musim ke sawah, Melur akan menolong ayah dan ibunya menanam padi.

Pada suatu hari, ketika Melur pulang dari sawah, Jempol menunggu Melur di suatu tempat yang sunyi. Apabila Melur melewati tempat itu, Jempol telah menahannya.

" Apa tujuan kau menghalang perjalanan aku, ha?" tanya Melur apabila Jempol menyekat perjalanannya.

" Aku mahu tahu kenapa keluarga kau menolak pinangan aku?" jawab Jempol tersenyum sinis.

" Ah, sudah gaharu cendana pula. Tentu kau sendiri sedar bahawa kau bukan seorang lelaki yang baik untuk menjadi suami," balas Melur juga sinis.

Jempol berasa sungguh marah apabila mendengar kata-kata Melur itu. Dendam yang sekian lama terpendam semakin membara.

" Inilah peluang aku untuk membalas dendam," bisik hati Jempol.

Melur dapat merasakan bahawa Jempol ingin melakukan sesuatu yang tidak baik terhadap dirinya. Lalu dia cuba melarikan diri, tetapi Jempol dapat menghalangnya. Mereka bergelut seketika. Melur meronta-ronta untuk melepaskan diri, tetapi kekuatan yang ada padanya tidak dapat menandingi kegagahan Jempol. Akhirnya Melur terpaksa menyerah.

Melur mengadukan perkara itu kepada ayah dan ibunya tetapi kedua-dua ibu bapanya tidak berani mengambil tindakan terhadap Jempol kerana dia gagah dan perkasa. Tambahan pula dia anak Tok Batin.

Melur sangat susah hati. Tambahan pula apabila mendapati dirinya telah mengandungkan anak Jempol. Dia berasa amat malu dan akhirnya membunuh diri dengan terjun ke dalam sungai.

Peristiwa itu tidak menginsafkan Jempol, malah, kelakuannya semakin ganas. Pantang terjumpa dengan gadis yang berkenan di hati, lalu diperkosanya. Kelakuan Jempol amat dibenci oleh penduduk kampung tersebut. Akhirnya mereka mengadakan pakatan sulit untuk membunuh Jempol.

" Sudah berpuluh anak gadis kampung ini diperkosa oleh Jempol. Perbuatannya tidak boleh dibiarkan. Entah esok atau lusa, anak gadis kita pula diperkosanya," kata salah seorang daripada mereka.

" Tetapi Jempol itu gagah dan perkasa. Tidak siapa yang dapat menghalang perbuatannya. Kalau kita gunakan kekerasan tentu akan dibunuhnya," kata seorang lagi.

" Jempol juga kebal. Tubuhnya tidak mampan oleh sebarang senjata. Bagaimana kita hendak membunuhnya?" tanya mereka lagi.

" Kita boleh membunuh Jempol dengan menggunakan tipu muslihat," kata seorang yang paling tua di antara mereka. Dia mengetahui rahsia kekebalan Jempol.

Menurut orang tua itu, tubuh badan Jempol memang tidak dapat dilukakan oleh sebarang senjata yang diperbuat daripada besi. Kalau mereka hendak membunuhnya mestilah menggunakan buluh runcing.

Mendengar kata-kata orang tua itu, mereka pun mencari jalan bagaimana hendak membunuh Jempol dengan menggunakan buluh. Setelah lama berfikir dan berbincang akhirnya mereka telah mendapat kata putus.

Salah satu kegemaran Jempol ialah mandi di dalam sungai di hadapan rumahnya. Setiap pagi Jempol akan memanjat pokok halban yang tumbuh di tepi tebing sungai, kemudian terjun ke dalam sungai itu.

Lalu pada suatu malam, beberapa orang penduduk kampung menanam pancang buluh di dalam sungai itu. Pancang buluh itu ditanam tegak. Bahagian yang dihalakan ke atas ditajamkan. Pancang itu tidak kelihatan dari permukaan sungai kerana di tanam di bawah paras air.

Keesokan paginya selepas bangun tidur, Jempol bersiap-siap hendak mandi. Dan seperti biasa, dia pergi ke tebing sungai lalu memanjat pokok halban itu. Pagi itu pula dia memanjat lebih tinggi daripada biasa, kemudian, dia pun terjun ke dalam sungai itu.

Tiba-tiba sebuah jeritan yang menandakan kesakitan yang amat sangat mencemari keheningan pagi yang suci itu. Pemilik suara itu, Jempol, meraung dan meronta-ronta menahan kesakitan akibat tusukan buluh runcing yang terpacak di dalam sungai. Air sungai menjadi merah akibat bercampur dengan darah Jempol yang membuak-buak.

Suara jeritan Jempol masih berterusan menyebabkan beberapa orang penduduk kampung yang tinggal di sekitar sungai itu datang membantu. Jempol dinaikkan ke tebing sungai, tetapi darah Jempol masih memancut-mancut di merata tempat. Kononnya sebab itulah tanah yang terdapat di kawasa Jempol berwarna merah.

Setelah Jempol mati mayatnya di tanam di satu kawasan lurah yang jauh dari kediaman orang. Kononnya kawasan tersebut berhantu. Sesiapa yang melintas di tempat Jempol dikebumikan, akan mendengar suara jeritan meminta tolong. Ada yang yakin bahawa Jempol sedang diseksa di dalam kubur akibat perbuatan jahatnya.

Selepas kematian Jempol, barulah keadaan kampung itu aman. Keluarga Jempol pula telah melarikan diri kerana tidak mahu menanggung malu. Sebagai mengingati peristiwa itu, mereka telah menamakan tempat itu dengan nama Jempol.

Kini, kawasan itu telah dibangunkan. Penduduk kampung tidak takut lagi untuk melintasi kawasan perkuburan Jempol. Tambahan pula berhampiran tempat itu telah didirikan sebuah masjid yang sekarang ini dikenali dengan nama " masjid Kariah Terentang."

Kisah Jempol menjadi pengajaran kepada anak-anak muda di daerah Jempol. Mereka yakin, sesiapa yang membuat jahat pasti akan dibalas jahat.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment