Categories

Asal Usul Nama Tempat di Malaysia - Asal nama Bukit Nanas

Perang di Kuala Lumpur meletus antara Raja Mahadi yang disokong oleh Raja Asal, Sutan Puasa dan orang Cina yang dipimpin oleh Chong-Chong dengan Tengku Kudin yang bersekutu dengan Sultan Abdul Samad, iaitu Sultan Selangor yang bersekutu dengan Yap Ah Loy, Kapitan Cina Kuala Lumpur pada 1871-75.

Pada akhir 1871, Sultan Puasa, iaitu ketua masyarakat orang Melayu keturunan Mendahiling mengumpul orangnya di Tanjung Dua Belas (Hulu Langat).

Di situ pasukan Sutan Puasa bersatu dengan pasukan orang Mendahiling dari Hulu Slim yang dipimpin oleh Raja Berumun atau dikenali juga Datuk Imam Perang Jabarungun di Tanjung Dua Belas.

Mereka berkumpul untuk menyerang Kuala Lumpur yang dikuasai oleh Kapitan Yap Ah Loy yang disokong oleh Tengku Kudin dan Sultan Abdul Samad.

Pengikut Sutan Puasa yang bersatu dengan pengikut Raja Berumun tidak sempat menyerang Kuala Lumpur kerana dengan tiba-tiba pasukan mereka diserang oleh pasukan Yap Ah Loy seramai 200 orang dan dibantu oleh orang Melayu daripada pasukan Kapitan Syers yang berjumlah kira-kira 100 orang.

Sutan Puasa sempat melepaskan diri ke Klang dan menubuhkan satu lagi pasukan. Namun tidak lama kemudian, Sutan Puasa dapat ditangkap oleh pasukan Inggeris yang dipimpin oleh Residen Davidson, Residen British di Selangor. Lalu Sutan Puasa dipenjarakan di Selangor.

Bukit Nanas yang ketika itu belum lagi dikenali dengan nama itu masih menjadi pusat pertahanan Raja Asal, iaitu sekutu Sutan Puasa. Raja Asal membina kubu pertahanan di Bukit Nanas dengan menanam pokok nanas di sekeliling kubu tersebut. Tujuannya supaya musuhnya sukar menembusi kubunya yang dikeliling oleh pokok nanas. Pokok nanas itu boleh menjadi penghalang kepada musuh yang berkaki ayam.

Akhirnya kubu Raja Asal dapat juga ditembusi oleh pasukan Yap Ah Loy yang disokong oleh Tengku Kudin dan dibantu oleh Inggeris yang telah berkuasa di Selangor.

Raja Asal sempat berundur ke Hulu Slim. Tetapi isterinya, Wan Putih, adik kepada Bendahara Tun Mutahir Pahang, menyerah diri. Beliau kemudiannya dibebaskan.

Bukit tempat kubu terakhir Raja Asal yang ditanam dengan pokok nanas itu akhirnya dikenali Bukit Nanas, mengambil sempena pokok nanas yang ditanam di sekeliling kubu.

Raja Asal yang dianggap ketua oleh masyarakat Melayu keturunan Mendahiling akhirnya berpindah ke Changkat Piatu di Kinta, Perak. Pada masa Inggeris mencari Datuk Maharaja Lela dan Datuk Sagor, kerana terlibat dalam pembunuhan J.W.W. Birch pada 1875, Raja Asal diminta oleh Inggeris untuk menolong mencari pahlawan Melayu Perak itu.

Waktu itu Raja Asal tidak berjaya menangkap penentang Inggeris itu. Tetapi kerana sangat menghargai jasanya, Inggeris melantik anak angkat yang juga anak saudaranya bernama Raja Bilah, menjadi Penghulu Mukim Belanja yang berpusat di Pekan Papar pada 1882-1909.

Pada 1877, Raja Asal meninggal dunia dan dimakamkan di atas sebuah bukit di Changkat Piatu dekat Batu Gajah.

Saya pernah melawat makamnya pada 1977, iaitu ketika sedang menyiapkan buku yang bertajuk Tempat-tempat Bersejarah di Negeri Perak.

Menurut Allahyarham Haji Waad juga, sekutu Raja Asal, iaitu Syed Mashur, berkubur di Hulu Kelang.

Beliau juga dikalahkan oleh angkatan perang Inggeris dengan sekutu angkatan perang Yap Ah Loy dan Tengku Kudin. Syed Mashur lari ke Perak dan terlibat pula menolong Inggeris mencari pahlawan Melayu yang membunuh Birch.

Syed Mashur akhirnya dilantik oleh kerajaan Selangor yang dikuasai oleh Inggeris menjadi Penghulu di Daerah Kerling.

Pada 1975 saya mengunjungi makam Syed Mashur yang terletak di Kerling. Saudara mara Syed Mashur masih ramai tinggal di Kerling hingga sekarang. Sultan Puasa selepas keluar dari penjara di Kelang, terus menetap di Sungai Mulia, Gombak.

Di situ, beliau memiliki sebuah rumah dan sebuah tasik kecil yang dikenali Tobek Sutan Puasa. Letak tasik itu betul-betul di belakang Masjid Sungai Mulia. Tobek Sutan Puasa masih ada hingga ke hari ini.

Haji Waad telah dilantik menjadi Pengurus Besar Keretapi Tanah Melayu pada 1970, menggantikan Tan Sri Ahmad Perang. pada masa saya tinggal di rumahnya, iaitu dari 1962, saya berkenalan dengan keluarga Ahmad Perang dan keluarga Datuk Abdul Razak, iaitu ketua Akauntan Keretapi Tanah Melayu.

Abdul Razak, setelah bersara melibatkan diri dalam perniagaan. Beliau menduduki sebuah rumah besar berbentuk Minangkabau berdekatan Taman Merbuk dan Tugu Negara.

Saya mendapat tahu bahawa Abdul Razak telah meninggal dunia pada tahun 80-an. Isteri allahyarham, yang saya panggil Kak Ani (Datin Noraini), berasal daripada keluarga Dato' Jaaffar Mambak. Saya mengenalinya semasa tinggal di Jalan Syer. Rumahnya tidak jauh dari rumah Allahyarham Haji Waad Jamaludin.

Haji Waad berpindah ke Jalan Keramat Hujung selepas bersara sebagai Pengurus Besar Keretapi Tanah Melayu pada 1970-an. Tapak rumah di Keramat Hujung itu saya yang berusaha menyuruh Hj. Waad membelinya daripada Melan Abdullah yang waktu itu bertugas sebagai wartawan di Utusan Melayu. Beliau meninggal dunia pada 1986 ketika usianya mencecah 80 tahun. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

1 comment:

  1. Sebuah kubu pertahanan pertahanan telah dibina diatas Bukit Nanas yang dinyatakan dalam catitan Pasqual sebagai Kubu Sutan Puasa. Namun catitan saudara menggambarkan keadaan sebenar dimana Raja Asal adalah ketua perang angkatan Mandailing kerana dia adalah seorang Tuanku (jendral - kaum Padri) dengan angkatan perangnya dari saki baki Tentera Padri. Sutan Puasa disokong oleh kekuatan Tuanku Raja Asal. Pada hakikinya Raja Asal adalah bendahari Tentera Padri yang diangkat ke tahap Tuanku kerana ketiadaan Patuan D'Laut (Tuanku Abdullah Zawawi yang sentiasa di medan perang. Tuanku Raja Asal bukanlah seorang yang mahir dalam ilmu peperangan dia hanya seorang bendahari.

    ReplyDelete